Sumber – Berita Harian Online
Oleh Hafizah Iszahanid
BANYAK penyakit yang dikaitkan dengan rokok dan satu daripadanya masalah tulang rapuh atau disebut sebagai osteoporosis.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bukti kukuh yang mengaitkan penurunan kepadatan tulang disebabkan merokok dibuat berdasarkan 29 kajian yang mendapati secara kasar satu daripada lapan kes keretakan tulang membabitkan perokok.
Perokok juga hilang kepadatan tulang lebih cepat daripada orang yang tidak merokok. Risiko keretakan pinggul di kalangan perokok lebih tinggi tanpa mengira usia tetapi meningkat 17 peratus lebih tinggi pada usia 60 tahun manakala 71 peratus pada usia 80 tahun dan 108 peratus pada usia 901 tahun.
Justeru, walaupun osteoporosis sering dikaitkan sebagai masalah wanita terutama wanita yang memasuki alam putus haid, ia juga masalah lelaki.
Malah, Yayasan Osteoporosis Kebangsaan Amerika melaporkan daripada sembilan juta warganya yang berhadapan dengan osteoporosis, dua juta adalah lelaki.
Di kalangan wanita, osteoporosis terjadi kerana kekurangan hormon estrogen ketika putus haid. Estrogen diperlukan untuk mengekalkan kekuatan tulang dan kepadatannya. Hormon lelaki yang paling penting, testosterone juga diperlukan untuk kekuatan dan kepadatan tulang.
Selalunya, lelaki akan berhadapan dengan osteoporosis apabila testosterone mula menurun disebabkan penuaan atau faktor lain seperti penggunaan terapi disebabkan barah prostat.
Walaupun dianggap penyakit yang tidak mengancam nyawa, osteoporosis adalah penyakit kronik yang mengakibatkan kemerosotan tulang dan tulang mudah patah.
Berbanding lelaki, wanita memang lebih ramai berhadapan dengannya iaitu kira-kira 200 juta orang.
Faktor Osteoporosis di kalangan lelaki
- Penyakit kronik (buah pinggang, paru-paru)
- Penggunaan sesetengah ubat-ubatan secara berterusan
- Penurunan hormon testosterone
- Gaya hidup tidak sihat, merokok, meminum arak, kurang kalsium
- Usia, lagi tua lagi berisiko
- Bangsa, lelaki Caucasian dikatakan paling berisiko tetapi semua lelaki yang mengamalkan cara hidup tidak sihat berpotensi.
Apa yang perlu anda tahu mengenai tulang.
Tulang sebenarnya berubah secara kerap, maksudnya tulang lama digantikan dengan tulang baru. Ketika zaman kanak-kanak, lebih banyak tulang dihasilkan supaya rangka tubuh membesar dari segi saiz dan kekuatannya.
Oleh itu kanak-kanak lelaki selalunya lebih dari segi kiraan jisim tulang. Bagaimanapun, kiraan tulang rangka secara tipikalnya akan menurun secara perlahan-lahan kerana memberi laluan kepada pertumbuhan tulang baru.
Lelaki dalam usia 50 tahun tidak mengalami kehilangan jisim tulang yang selalunya dialami wanita ketika masuk ke alam putus haid. Pada usia antara 65 hingga 70 tahun, kadar kehilangan jisim tulang lelaki dan wanita lebih kurang sama. Malah, penyerapan kalsium dan kebanyakan nutrisi untuk kesihatan tulang juga menurun untuk kedua-duanya. Kehilangan kepadatan tulang yang berterusan menyebabkan tulang mudah rapuh dan retak.
Retak menyebabkan osteoporosis yang sering terjadi pada pinggul tulang belakang dan pergelangan tangan. Keretakan tulang pinggul sangat bahaya. Oleh itu, masalah keretakan tulang selalunya berlaku di kalangan lelaki dan wanita yang berusia. Lelaki yang berhadapan dengan keretakan tulang pinggul lebih mudah meninggal dunia kerana komplikasi berbanding wanita.
Vitamin D dan osteoporosis
Pemakanan sangat penting untuk kesihatan tulang. Vitamin D misalnya dikenal pasti berperanan dalam pengurusan osteoporosis dan meningkatkan pencegahan pada keretakan tulang.
Sebenarnya masalah kekurangan vitamin D adalah masalah seluruh dunia. Jika diambil kira daripada statistik pesakit wanita, dua daripada tiga wanita postmenopos tidak mendapat vitamin D secukupnya. Fakta itu diperoleh berdasarkan tinjauan epidemiologi 2005 yang dijalankan di Eropah, Timur Tengah, Asia, Amerika Latin dan Pinggir Pasifik.
Presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia yang juga Pakar Perunding Endokrinologi, Prof Dr Chan Siew Pheng, berkata biasanya pesakit osteoporosis disaran mengambil vitamin D bersama ubat osteoporosis mereka tetapi kadar pematuhannya rendah.
Penemuan ini jelasnya membimbangkan kerana tidak kira rantau geografi atau latitud, tidak mendapat vitamin D secukupnya menjadi masalah kepada pesakit osteoporosis.
Keperluan terhadap vitamin D adalah mendesak kerana sebagai komponen penting dalam pengurusan osteoporosis ia berupaya membantu memperbaiki keupayaan mencegah osteoporosis yang boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk sehingga ada yang membawa maut.
Vitamin D dihasilkan terutama di dalam kulit selepas pendedahan kepada cahaya matahari dan kalsium yang diperoleh terutama daripada makanan, bertindak membina tulang yang kuat dan sihat.
Ia membantu tubuh menyerap kalsium daripada pemakanan. Kalsium adalah sejenis mineral yang membantu membina tulang dan membuatkan tulang kuat dan padat. Vitamin D bertindak sebagai kunci yang membuka pintu supaya kalsium boleh diserap ke dalam tubuh.







